Isnin, 2 September 2013

Lencana Keahlian PKK - 6. Cerita Hutan, Mowgli

MOWGLI

MOWGLI
Di pedalaman India pada zaman dahulu ada seekor harimau tua yang tempang kakinya dan paling dibenci oleh binatang-binatang yang hidup aman dalam sebuah kawasan hutan. Harimau ini bernama Shere Khan. Pada suatu malam ketika dia menghendap-hendap mencari makanan Shere Khan ternampak sebuah khemah pemotong kayu. Di dalam khemah itu, pemotong kayu suami isteri dan seorang anak mereka yang masih kecil sedang tidur dengan nyenyak. Di sisi khemah itu, unggun api menyala dengan maraknya.

Kerana terlalu gembira menemui mangsanya itu Shere Khan terus menerkam. Malangnya Shere Khan terpijak bara unggun api yang ada di sisi khemah itu. Dia pun melolong kesakitan sehingga menggemparkan satu keluarga serigala yang tinggal dalam sebuah gua batu tidak jauh dari situ. Sedang Bapa Serigala berlari keluar dari guanya hendak menyiasat kejadian itu, tiba-tiba dia terdengar sesuatu merayap di dalam semak. Apabila dia bersedia hendak menerkam, dia ternampak seorang anak manusia sedang merangkak ke arahnya dengan berani. Budak itu adalah anak pemotong kayu yang tertinggal di dalam khemah ketika ibu bapanya melarikan diri apabila terdengar lolongan Shere Khan tadi. Bapa serigala menggonggong budak itu dan membawanya ke dalam gua. Ibu serigala kasihan dan tertarik hati kepadanya kerana budak itu sedikit pun tidak takut kepada mereka malah berebut-rebut dengan anak serigala yang lain menghisap susu Ibu Serigala. Kedua-dua Ibu dan Bapa Serigala bersetuju menerima budak itu sebagai anak mereka sendiri dan menamakannya Mowgli. Anak-anak serigala yang lain juga sayang kepadanya dan menganggap Mowgli sebagai saudara mereka sendiri. Tetapi tidak lama kemudian Shere Khan datang ke mulut gua itu dengan dipandu Tabaqui, seekor rubah(jackal), yang memang hidupnya memakan sisa tangkapan binatang-binatang lain. Tabaqui terdahulu daripada itu telah dapat mengesan ke mana budak kecil pemotong kayu itu pergi dan mengharap dapat makan sisa-sisa Shere Khan jika harimau tempang itu memakan budak itu nanti. Bagaimanapun apabila Shere Khan menuntut supaya Bapa Serigala menyerahkan budak itu, yang didakwanya sebagai haknya,Bapa dan Ibu Serigala menentang.Shere Khan cuba hendak mengambil budak itu dari dalam gua, tetapi badannya tidak muat melalui pintu gua. Dengan marah dia akhirnya meninggalkan gua itu tetapi bersumpah yang suatu hari nanti budak itu akan tetap menjadi mangsanya. Semenjak itu, Mowgli tinggal bersama-sama keluarga serigala itu dan benar-benar sebagai anak serigala di dalam hutan.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan